Mengapa berpaut pada kenangan, sedang impian boleh digapai

29 January 2015

Teka Teki Tanpa Jawapan

Kau tahu, setiap kali aku terima kad undangan walimatul urus, hati aku bersepai. Seperti pecahnya cawan kaca yang terjatuh dari meja kopi. Kacanya bertaburan, airnya tumpah berserakan. Seperti hati dan airmataku. Tiada siapa yang melihat melainkan Al-Khaliq. Si pengantin yang mengundang itu pun tidak akan tahu.

Kau tahu, apabila aku hadir ke majlis itu, aku terpesona dengan warna, reka bentuk dan tema pelamin si pengantin itu, perasaannya seperti akulah yang sedang bersanding di pelamin itu. Meriah. Seronok. Tapi jauh di sudut hati, lagi sakit aku melihat keintiman si pengantin bergaya sakan apabila berada di lensa kamera jurufoto.

"Alahai entah bila nak sampai giliran aku ni."

Di walimatul urus itu, aku memanjatkan doa berulang kali supaya tidak ditemukan dengan kawan-kawan atau makcik-makcik bermulut murai yang selalu menanyakan, "kau bila lagi ?"
Berdesing telinga aku mendengar soalan yang sama daripada mulut-mulut yang berbeza. Mahu saja aku jawabkan, "saya tunggu suami makcik yang meminang saya." Tetapi memandangkan aku sudah diajar untuk bersopan bila bersua yang lebih tua maka aku cuma diamkan atau sengih-sengih sahaja.

"Patutlah kau tak kahwin-kahwin sampai sekarang !"
Pedih bukan ? Bila kau dilontarkan kata-kata sebegitu oleh orang yang pernah menyayangimu, seolah-olah aku sengaja tak mahu berkahwin padahal dialah yang meminta aku menunggunya dari tahun ke tahun dengan kata-kata yang sama, janji yang sama. Biasalah manusia, apabila sudah bertemu gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Kau tahu ? Mahu saja aku sumpah seranah dia, tapi aku diamkan dan cuma mengharapkan Tuhan lah yang menilai dan memberi keputusan-Nya di dalam setiap akhir sujudku. Kerana yakinku seperti mana ayat-ayat hikmah pernah ku baca,
*Jangan sekali-kali kita menghina orang, selalunya balasan penghinaan itu kembali kepada diri sendiri, begitu lah yang kerap terjadi.*

Kerana aku yakin hidup ini balas-membalas, seperti aku juga pada masa lalu, pernah menyiat hati seorang lelaki. Padan muka aku kan ! Tiada yang lebih pedas dari kata-kata. Cili padi yang pedas pun boleh hilang pedasnya bila dikemamkan dengan gula. Tapi, kata-kata tak akan hilang bisanya dari telinga, hati dan kekal dalam ingatan selagi bernyawa. Kata hinaan sebegitu bukan senang untuk dimaafkan apa lagi hendak dilupakan. Sampai nafas telah direnggut pun, melainkan diduga dengan Amnesia.

"Kak, bukan kau saja yang belum bertemu jodoh, kawan-kawan aku sebaya kau, ramai yang lebih bangga masih bujang, bangga dengan pencapaian yang mereka dapat meskipun belum bertemu jodoh. Kau ada apa yang kami tiada, kak."

Ya. Perasaan aku saja. Macamlah dunia ini cuma tinggal aku saja yang belum bertemu pendamping hidup. Kesendirian ini adalah permit diberikan Allah untuk memanfaatkan waktu, bakat dan kemahiran untuk meraih kecemerlangan dunia dan akhirat. Maka, untuk apa aku persiakan air mata menangisi ujian yang tidaklah sehebat mana ini.



Seperti maut yang menjemput ketika telah sampai ketetapan-Nya, maka berpulanglah jua kita.

Seperti jodoh yang digelisahkan apabila telah sampai ketetapan-Nya, bersatulah jua kita.

Maka apa perlu dimendungkan harimu
Dimurungkan kalbumu
Meneka-neki sesuatu yang bukan pada tanganmu ?



Sekadar menenangkan hati sendiri dan mungkin kamu, pembaca yang bujang. Aku tulis dan afirmasikan puisi ini di setiap bangun dan tidurku meski adakalanya rebah dalam rasa kesunyian. Itu normal kan ? Rebah dan bangkit semula. Dunia ini bukan semata-mata disibukkan dengan pertanyaan siapa jodohku, siapa jodohku ? Bukankah itu telah Allah tuliskan di Luh Mahfuz ? Menutup mulut tempayan lebih mudah daripada mulut manusia. Apabila ditanyakan lagi soalan yang sama, ada dua pilihan jawapan, diam dan senyum atau paling tidak, katakan, "Mungkin Allah masih mahu mendewasakan aku dengan pengalaman dan ilmu supaya tidak menjadi mangsa orang-orang salah di luar sana daripada kahwin awal tapi bercerai kemudian menambahkan fail kes di Mahkamah Syariah "

Bukan semua yang kita sangka membahagiakan itu benar-benar menjanjikan bahagia, apabila kita telah berada di dalamnya, barulah kita tahu.


8.06PM
Pasir Gudang, Johor

ツTerima Kasih Kerana Sudi Baca Cerita Kita! Like if Suka!ツ

No comments:

Post a Comment

Apa kata mereka?

Simple Blogger. All Right Reserved by AinNuraini